KOTA KINABALU 18 Jun – Pekerja sektor swasta yang menyertai Skim
Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan Rukun Tetangga masing-masing bakal
diberikan pelepasan kerja pada hari berikutnya.
Pengarah Pengurusan Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim berkata, pada masa ini pihaknya
sedang mengadakan rundingan dengan pihak swasta bagi melaksanakan
perkara itu.
“Pada peringkat awal ini masing-masing pihak bersetuju kerana ia
tanggungjawab bersama untuk mencegah jenayah, cuma kita tengah tengok
mekanisme pelaksanaannya.
“Jadi kita harap dalam hujung tahun ini kita dapat melaksanakan perkara
itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Mari
Meronda Bersama SRS Bagus Bah peringkat negeri di Dewan Rakan Muda
Kompleks Belia dan Sukan Putatan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JPNIN negeri, Nurul Akmalina Shamsuddin; Timbalan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Tan Kok Liang;
Pengarah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri, Samasuddin Lawe
dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) negeri, Mulliadi Al Hamdi
Ladin.
Menurut Zulkifli, pada masa ini pihaknya sedang giat mengadakan
rundingan dengan Persatuan Majikan Malaysia, Persatuan Pengilang
Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian
Kewangan.
Katanya, sekiranya berjaya dilaksanakan kerajaan akan memberi insentif
pelepasan cukai kepada majikan yang memberi pelepasan kerja kepada
pekerjanya yang melakukan rondaan.
“Pengiraan itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan dengan
bantuan Persatuan Majikan Malaysia dan Persatuan Pengilang Malaysia,”
katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pada masa ini pihak Jabatan Perkhidmatan
Awam telah mengeluarkan pekeliling supaya penjawat awam yang bertugas
dalam tempoh empat jam sebulan dalam SRS diberi pelepasan cuti.
“Jadi perkara ini dicemburui oleh pihak swasta kerana mereka juga meronda tetapi tidak mendapat peluang tersebut,” ujarnya.
ARKIB : 19/06/2011
No comments:
Post a Comment